By Alina Wardah
Wahai saudara2ku, fear Allah the fear that He is most deserving of you. Be aware of Allah in both open and hidden situations. Through Taqwa Allah our word is consolidated, blessings are compounded and wisdom is shown.

Selamat menyambut Awal Muharram ...
Selamat Tahun Baru Hijrah...
Selamat berubah dari perkara yang baik kepada yang lebih baik..
dan dari yang lebih baik kepada yang paling terbaik...
kita tidak akan pernah terlambat untuk berubah...

(',)


         
          Hijrah sentiasa mengingatkan kita peristiwa penting dan bersejarah dalam memperjuangkan agama Islam. Peristiwa itu bukan sahaja kerana bermulanya takwim Hijrah, tetapi ianya merujuk kepada penghijrahan Nabi Muhammad dari Makkah ke Madinah, sesungguhnya ia mengandungi rahsia, keistimewaan dan konsep tersendiri.  

Firman Allah dalam surah an Nahl ayat 41-42 bermaksud,
"Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya Yang baik; dan Sesungguhnya pahala (amal mereka Yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui. (Mereka itu ialah) orang-orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya".

          Mari kita teliti, perhalusi dan hayati ayat ini. Konsep hijrah di era ini adalah ingin mengajak umat Islam kepada perkara yang baik, bermanfaat dan ke arah mempertingkatkan kepelbagaian dalam aspek kemajuan hidup. Justeru konsep hijrah ini akan mampu meneguhkan dan memantapkan keimanan serta jati diri umat Islam dalam berdepan dengan pelbagai cabaran dan kemajuan, dengan menyedari hakikat kehidupan, melunaskan tugasan memartabatkan peribadatkan kepada Allah, serta menjadi muslim yang tidak hanya bersandar pada status agama Islam, namun lebih itu, membuktikan keislamannya menerusi keyakinan ganjaran Allah yang menanti, serta mencernakan Islam dalam diri dan perlakuan.

            Hijrah memerlukan kesanggupan diri menerima kesusahan, mengharungi dugaan, membiasakan diri dengan cacian dan penghinaan. Hari ini, tiada lagi hijrah dari Makkah ke Madinah, tiada lagi tuntutan untuk berhijrah dari satu tempat ke tempat lain, tetapi penghijrahan yang dituntut daripada setiap kita ialah sejauhmana usaha menghijrahkan tahap keilmuan Islam dalam diri, sejauh mana usaha kita dalam menghijrahkan diri daripada pemahaman sempit dan beku tentang agama, kepada peningkatan ilmu dan kefahaman. Kita tidak mungkin mampu hanya menyatakan bahawa segala maklumat telah diikuti dan dipelajari ketika usia kecil, lalu ianya dijadikan alibi untuk tidak berusaha meningkatkan kefahaman tentang Islam, apatah lagi selepas itu, tuntutan berhijrah perlu kita sahut dalam menghijrahkan diri dari kapasiti amal ibadah yang terhad, kepada profesionalisme dalam solat, zakat, puasa dan haji, dari sudut usaha peningkatan, pengisian dan persembahan kepada Allah.

          Bersempena dengan maal hijrah ini, kita seharusnya memulakan tahun baru hijriyyah dengan perkara-perkara penting. Tiada ruang sebenarnya untuk kita memperlihatkan kemarahan dan komentar pada perlakuan bukan muslim, seandainya kita tidak berperanan memperlihatkan keperibadian islam dalam diri.

          Sesuatu itu akan dikategorikan sebagai penting dalam hidupnya, andai ia memahami dan meyakini mengapa ia harus dilakukan. Minat dan keseronokan melaksanakannya akan hadir menerusi keinginan dan kefahaman jitu terhadap fungsi kita selaku muslim. Sikap rendah diri atas kekurangan ilmu dan informasi juga akan lenyap sekiranya seseorang itu berusaha memperbaiki diri semata-mata kerana Allah. Pergunakanlah tahun baru ini untuk mempertingkatkan maklumat tentang Islam, menggandakan amalan dan usaha secara praktikal, serta memperuntukkan masa untuk Islam. Sumbangkanlah masa kita untuk agama, nescaya kita akan dibantu olehNYA.

Firman Allah yang bermaksud,
"sekiranya kamu membantu Allah (iaitu menerusi pelaksanaan perintahNYA), nescaya Allah akan membantu kamu dan memperteguhkan kedudukan kamu".

           Sekiranya kita tidak mensibukkan diri kita dengan mendekatkan diri dengan agama, nescaya kita tetap akan disibukkan dengan perkara-perkara yang melalaikan dalam kehidupan. Berada di bumi ini seharusnya memberikan kita semangat untuk memperbaiki diri, dan tidak hanya semata-mata hanyut dengan keseronokan yang tidak berkesudahan yang mampu ditawarkan di sini.....

Ya Allah...pimpinlah dan tuntunlah aku untuk menjadi seorang muslim yang sebenar2 muslim yang mukmin...Ameen...
0 Responses

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...