By Alina Wardah

Penjelasan kepada 

‘Tiada Paksaan Dalam Islam’

Di dalam surah Al Baqarah ayat 156 ( jika tidah salah ) yang bermaksud : 
Sesungguhnya tiada paksaan dalam agama

Ada diantara kita yg selalu menggunakan ayat di atas untuk melepaskan diri dari tanggungjawab sebagai seorang muslim...
Sahabat sekalian, jgn di salah erti maksudnya itu....jika tidak tahu...bertanyalah...jika terasa diri tahu sekalipun, cubalah berfikir sejenak sebelum berkata2..
Di sini aku kongsikan sepinggan pahala untuk pengetahuan kita bersama.... penjelasan dari seorang yang tahu...untuk orang yang tidak tahu seperti aku mungkin....


Memang diakui dalam Islam tidak ada paksaan dalam beragama. Seseorang bukan Islam tidak boleh dipaksa dengan sewenang-wenangnya supaya memeluk Islam. Sepanjang sejarahnya Islam tidak pernah memaksa seseorang memeluk agamanya secara kekerasan.  Apa yang berlaku ialah ramai golongan yang bukan Islam memeluk Islam secara sukarela setelah melihat kebaikan agama Islam dan kesesuaiannya dengan fitrah semula jadi mereka.  Tidak kurang juga yang memeluk Islam setelah berpuashati dengan kajian yang mereka lakukan.
Pelaksanaan hukum murtad kepada orang yang murtad sebenarnya tidak ada sangkut pautnya dengan konsep tidak ada paksaan dalam agama. Ini kerana seseorang yang bukan Islam tidak boleh dipaksa menerima Islam. Mereka bebas memilih agama yang mereka ingin anuti. Bagaimanapun setelah mereka memilih Islam, dengan sendirinya mereka tertakluk dengan undang-undang dan peraturan yang ada dalam agama Islam. Jika mereka melakukan kesilapan, mereka akan dihukum berdasarkan peraturan dan undang-undang yang ada dalam agama Islam. Islam ada maruahnya tersendiri. Apabila maruahnya telah dicabul, maka pencabulnya berhak mendapat hukuman setimpal menurut undang-undang Islam. 

Kedudukannya tak ubah seperti seorang murid yang baru memasuki alam persekolahan.  Sekolah yang dimasukinya mempunyai peraturan sendiri. Jika murid-muridnya melanggar disiplin sekolah maka pihak sekolah berhak melaksanakan hukuman ke atas murid yang melanggar peraturan itu dan perbuatan pihak sekolah ini tidak boleh dinyatakan sebagai melanggar kebebasan murid berkenaan. Jika seseorang murid boleh berbuat apa sahaja disekolah, boleh menampar dan menumbuk kawan-kawannya sendiri, malah boleh membunuh mereka dengan mudah, jelaslah sekolah berkenaan berkenaan tidak ada maruah diri dan tidak ada disiplin. 

Tidak ada seorang yang berakal waras dan sihat yang ada di muka bumi ini sanggup mengatakan menguatkuasakan undang-undang bermakna menyekat kebebasan seseorang.  Kebebasan murid berkenaan berbuat demikian akan menimbulkan kemusnahan kepada sekolah berkenaan dan akan menjejaskan nama baiknya sendiri. Andaikata menguatkuasakan undang-undang itu dikatakan menyekat kebebasan, sudah pasti menangkap para perompak dikatakan menyekat kebebasan perompak itu sendiri untuk menjalankan aktivitinya. 

Dalam dunia hari ini Allah SWT menciptakan alam cakerawala dengan peraturannya sendiri. Bulan bebas berputar, begitu juga dengan matahari, namun putaran bulan dan juga matahari adalah di atas paksi masing-masing sesuai sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Andaikata Allah SWT membiarkan matahari bergerak bebas tanpa undang-undang yang mengawalnya, sudah pasti akan mendatangkan kemudaratan yang cukup besar kepada alam maya ini. 

Sehubungan dengan itu Islam juga mempunyai peraturan dan maruah serta kehebatannya tersendiri. Jika seseorang boleh saja memeluk dan keluar dari Islam dengan mudah, sudah pasti mencemarkan nama baik Islam itu sendiri, kerana itu yang terlibat berhak menerima hukuman-hukuman yang setimpal termasuklah hukuman hudud kerana murtad. 

Hukuman ini tidak bertentangan dengan konsep bebas memilih agama. Tambahan pula Islam adalah satu agama yang sudah lengkap merangkumi soal-soal hubungan dengan Allah, hubungan sesama makhluk, merangkumi persoalan ibadat, munakahat, muamalat, jinayat, siyasah dan hubungan antarabangsa. Tidak ada satu agamapun di dunia ini yang mana syariatnya begitu syumul seperti Islam. Memilih agama lain menunjukkan pemilihnya tidak menggunakan akalnya sesuai dengan fitrah semula jadinya sendiri. 

Satu perkara lagi konsep kebebasan itu juga perlu difahami. Apa yang didakwa oleh orang-orang barat sebagai kebebasan mutlak itu sebenarnya tidak tepat dan tidak berlaku, kerana mereka masih juga terikat dengan peraturan yang mereka buat sendiri. Kalau seseorang itu pergi ke pejabat pos untuk membayar bil elektrik, tiba-tiba ia melihat orang ramai sedang berbaris panjang menunggu giliran masing-masing untuk membayar bil-bil eletrik dan bil-bil air masing-masing, lantas kita terus ke kaunter bayaran tanpa mengikut giliran, atas nama kebebasan, sudah pasti kita akan dimarahi oleh mereka yang sedang berbaris panjang itu. Ini menunjukkan kita tidak mempunyai kebebasan yang mutlak, malah kebebasan kita terikat dengan peraturan yang dibuat. 

Kalau dinilai atas nama kebebasan, maka seseorang itu boleh merogol isteri orang yang lalu lalang dihadapan suaminya dan suami tidak berhak melarangnya. Inilah yang dikatakan kebebasan sebenar, tetapi apa yang kita lihat ialah suami kepada wanita berkenaan akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang merogol isterinya dan boleh jadi orang ramai yang menyaksikan kejadian itu akan turut memukulnya sehingga pengsan. 

Jadilah jelaslah kepada kita melaksanakan hukum hudud murtad tidak dikatakan melanggar kebebasan seseorang, kerana kebebasan seseorang itu masih terikat dengan peraturan. Sebaliknya melaksanakan hukum hudud murtad tidak lebih dari menguatkuasakan undang-undang yang terdapat dalam agama Islam itu sendiri.  (Ayat yang dimaksudkan di dalam soalan adalah ayat 256, Surah Al Baqarah)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...