By Alina Wardah

DULU…. dia (guru) pegang ROTAN dan pukul engkau. Lalu, kau kata dia GARANG macam singa, macam harimau, macam beruang. Semua macam-macam bermain di minda kamu. Kau TIDAK TAHU…. rotan itu rotan apa ? Itulah rotan hikmat, rotan berkat, rotan keramat, rotan penyengat. Kerana rotan itu, kau ingati dia, di mana-mana kau berada, selama-lamanya.

DULU…. bila dia masuk LAMBAT, kau kata dia MALAS tentu lewat tidur : tengok tv – cerita bola, cerita drama, cerita bla-bla-bla. Kau TIDAK TAHU, dia bukan sengaja lewat. Tulis buku, baca buku, tanda buku, cari idea, cipta formula agar kau pandai dan berjaya. Dia sanggup berkorban mata dan istirehatnya.
 
KAU TIDAK TAHU… dia masuk lambat sebab apa ?  Ada halangan di jalan raya, maklum pagi-pagi sibuk sentiasa. Lori, bas, kereta, motosikal, basikal dan pastinya ada manusia. Semuanya lalu di jalan yang sama. Kasihan dia, dihukum tanpa bicara.

DULU…. bila dia marah, kau kata dia melampau : marah macam harimau, menjerit macam orang kena santau, merengus macam kerbau, mata merah macam saga, begis macam naga, berkata bagai halilintar, satu kelas rasa gegak gempita.  Kau meluat melihat dia. KAU TIDAK TAHU…. marah dia ada alamat, ada sebab, ada rahmat.

Sedarkah engkau ! Kau jadi pandai kerana marahnya. Kau jadi faham kerana jelingannya. Kau jadi pintar kerana hukumannya. Kau jadi terhormat kerana tegurannya. Kau jadi manusia kerana ilmunya. Kau menjadi apa yang engkau jadi sekarang kerana pengajaran yang disematkannya agar kau menjadi MANUSIA BERGUNA. Masa berlalu pantas dan kini…

Kau pegang rotan macam dia. Tapi rotannya berbeza rupa : pembaris, penyapu, kayu dan sebagainya. Semuanya kerana kau mahu anak muridmu juga jadi pandai macam engkau. Macam dia.

Kau masuk lambat ke kelas macam dia. Serupa macam dia kerana kau juga ada alasan seperti dia. Tidur lewat untuk menyiapkan formula keberkesanan pengajaran dan pembelajaran untuk pelajaran esoknya. Juga lambat kerana kesesakan jalanraya yang sama dilalui oleh dia suatu zaman dahulu. Tetapi mungkin berbeza kenyataannya.

Baru kini kau tahu kenapa dia begitu. Itupun setelah kau melalui jalan perjuangan yang sama dengannya. Jika tidak, kau tidak akan tahu sampai bila-bilapun dan selalu menyalahinya. Yang membezakan kau dengan dia hanyalah zaman. Zaman engkau sangat berubah dan ditenggelami oleh teknologi globalisasi. Lebih mencabar dari zaman dia. Penuh dengan krisis akhlak yang memeningkan kepala.

Peraturan berbagai rupa tapi disiplin dipandang dengan sebelah mata oleh kebanyakan pelajar yang sudah hilang hormat pada gurunya. Hilang deria kecintaan pada gurunya. Benci pada sekolah. Benci pada pelajaran. Benci pada segala yang menempatkan kebijakan masa depannya. Apakah kerana kau menjadi salah satu dari penyebabnya. Mudahan tidak. Kerana engkau adalah guru yang dedikasi dan berhemah tinggi.

Kebalikan dari zaman dia, ramai anak muridnya  kini jadi MANUSIA YANG BENAR-BENAR BERJASA termasuk engkau, walau tidak semuanya berjaya dalam kerjaya. Pendidikan dia meresap ke jiwa raga. tegas dan garangnya menjadi jalan menuju bahagia.

WAHAI PELAJAR YANG DIKASIHI, CINTAILAH GURUMU YANG TELAH BERJASA. SIAPALAH KAMU HARI INI ?

Sekian, salam hormat penuh takzim.
SITI FATIMAH AHMAD. Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang. Bintangor, Sarawak

 
  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...