By Alina Wardah

Pertama kali baca entry ni....nukilan saudara Zul dan istri...terus terkesan....
Penulisan yg sungguh bermakna....tuk kehidupan kita semestinya...
Terima kasih banyak ya Akh wa Ukhti....

____________________________________



Boleh jadi Keserasian bukan mesti kita mempunyai pendapat dan sikap yang sama dalam semua perkara, tetapi ia adalah sebuah kemampuan kita memanfaatkan segala perbezaan untuk mencapai keharmonian, meraikan kepelbagaian untuk meningkatkan kualiti kehidupan. Ibarat bezanya caj positif dan negatif yang menghasilkan sebuah bateri. Atau ibarat bezanya bunyi setiap note piano yang menghasilkan lagu. Semakin banyak perbezaan, semakin mencabar jalan mencapai keserasian, jika kita gagal menghormati perbezaan dan mengurusnya dengan baik.

Oleh sebab itu kita digalakkan mencari yang sekufu agar lebih mudah mencapai keserasian. Baik daripada segi misi dan visi hidup (perkara paling utama), latar belakang keluarga, minat dan kecenderungan. Pemain badminton akan mencari pemain badminton yang memahami kerjayanya, begitu juga artis. Aktivis dakwahpun mencari aktivis dakwah agar melahirkan momentum dakwah yang lebih baik. Namun, tetap saja akan ada perbezaan-perbezaan yang perlu diurus, sekalipun kita mendapatkan pasangan yang memang sekufu.

Dalam penulisan yang lepas (rujuk pelajaran #3), saya ada menyentuh bahawa suami dan isteri masuk ke alam pernikahan setelah hampir 25 tahun (contoh) hidup dengan cara hidup masing-masing, persekitaran keluarga masing-masing, dan banyak lagi perkara-perkara yang berbeza dilalui. Maka, menidakkan kepelbagaian pendapat dan sikap pasangan itu adalah tidak thobi'i, bertentangan dengan fitrah perubahan yang mengambil masa yang panjang.Semakin lama seseorang terbiasa dengan sesebuah pendapat dan sikap, semakin sukar untuk kita membuangnya.

Pun begitu, tidak semua sikap dan pandangan yang berbeza itu bererti ada pihak yang salah dan perlu diperbetulkan. Kita selalu mendengar ungkapan we agree to disagree. Hakikatnya, kita memang disatukan pun atas dasar perbezaan, iaitu perbezaan jantina. Pastinya cara fikir dan sudut pandang berlainan jantina itu ada kelainannya. Zalim jika kita memaksakan pasangan untuk setuju dengan semua perkara yang kita lontarkan, semua tindakan yang kita ambil. Melainkan jika pendapat dan sikap itu jelas bertentangan dengan agama, maka kita perlu memperbetulkan, itupun dengan cara yang berhikmah.

Suami, suka tengok bola. Isteri, suka tengok kain, kerongsang. Suami suka bersikap tegas terhadap anak-anak, isteri suka pendekatan memujuk. Suami suka yang mudah dan simple, isteri suka yang details dan kompleks. Suami suka makan manis, isteri suka makan pedas. Apatah lagi kalau suami sokong kerajaan, isteri sokong pembangkang, nampaknya rumahtangga jadi medan perbalahan politik kalau tak dibincang dan diurus dengan baik. Kita harus belajar mengenal pasangan. Semua perbezaan ini harus dimanfaatkan untuk mencapai keharmonian. Apa yang paling penting adalah komunikasi antara kedua-dua belah pihak dalam suasana yang penuh cinta dan kasih sayang, bukan penuh tegang dan ego.

Hidup dalam rumahtangga adalah ibarat sebuah kerajaan yang wujud dengan ahli yang kecil, suami sebagai pemerintah, isteri sebagai pembangkang (atau sebaliknya), anak-anak sebagai rakyat. Atau mungkin suami sebagai Perdana Menteri, isteri sebagai Timbalannya. Adanya perbezaan-perbezaan itulah yang memunculkan resolusi-resolusi yang lebih adil dan menguntungkan kedua-dua belah pihak, terutamanya rakyat (anak-anak). Apabila ada pandangan dan sikap pasangan yang berbeza, yang kita bincangkan adalah bagaimana mengurus perbezaan tadi dan meletakkannya di tempat yang betul supaya ia menjadi faktor penguat, bukan pemusnah. Jika kita asyik menghentam, ia akan melahirkan dendam yang sukar diredam. Akhirnya, pembangkang dan kerajaan akan sentiasa mencari jalan untuk berbeza, walaupun di pihak lain ada kebenaran yang dilontarkan.

Suami cakap sepatah, isteri hentam 3 patah, sebagai bentuk balas dendam kerana suaminya pun selalu menghentam pendapatnya. Walaupun hakikatnya pendapat atau sikap itu tidak salah, cuma berbeza. Akhirnya, ia tidak menguntungkan rakyat, hak mereka tak tertunai. Ini politik kotor namanya.

Kita perlu berlapang dada dengan teman hidup kita. Harus ada yang mengalah dan bersabar. Jangan cepat menghentam, memalukan, menyindir sinis hanya kerana dia berbeza dengan kita daripada segi pandangan dan sikap terhadap sesuatu perkara. Itu tidak membantu kita membina sebuah rumahtangga yang harmoni. Jika sikap ini dibiarkan berlarutan, kita akan semakin jauh dan sukar mencapai keserasian sampai ke usia tua. Ia juga memberi kesan kepada perkembangan anak-anak, melahirkan generasi yang suka berbalah. Manakan tidak, dalam keluarga sendiri mereka terdidik begitu.

Jika kita cuba menghormati dan meraikan pendapat dan sikap pasangan kita yang berbeza, dia pasti akan lebih menghargai kita, dan belajar untuk menghormati dan meraikan pendapat dan sikap kita juga. Ada benarnya, what you give you get back.

Wallahua'lam.

Kredit to : http://zulyunus.blogspot.com/
1 Response
  1. Anonymous Says :

    ... namun masih wujud penceraian


Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...