DULU…. dia (guru) pegang ROTAN dan pukul engkau. Lalu, kau kata dia GARANG macam singa, macam harimau, macam beruang. Semua macam-macam bermain di minda kamu. Kau TIDAK TAHU…. rotan itu rotan apa ? Itulah rotan hikmat, rotan berkat, rotan keramat, rotan penyengat. Kerana rotan itu, kau ingati dia, di mana-mana kau berada, selama-lamanya.
DULU….
bila dia masuk LAMBAT, kau kata dia MALAS tentu lewat tidur : tengok tv
– cerita bola, cerita drama, cerita bla-bla-bla. Kau TIDAK TAHU, dia
bukan sengaja lewat. Tulis buku, baca buku, tanda buku, cari idea, cipta
formula agar kau pandai dan berjaya. Dia sanggup berkorban mata dan
istirehatnya.
DULU…. bila dia marah, kau kata dia melampau : marah macam harimau, menjerit macam orang kena santau, merengus macam kerbau, mata merah macam saga, begis macam naga, berkata bagai halilintar, satu kelas rasa gegak gempita. Kau meluat melihat dia. KAU TIDAK TAHU…. marah dia ada alamat, ada sebab, ada rahmat.
Sedarkah engkau ! Kau jadi pandai kerana marahnya. Kau jadi faham kerana jelingannya. Kau jadi pintar kerana hukumannya. Kau jadi terhormat kerana tegurannya. Kau jadi manusia kerana ilmunya. Kau menjadi apa yang engkau jadi sekarang kerana pengajaran yang disematkannya agar kau menjadi MANUSIA BERGUNA. Masa berlalu pantas dan kini…
Kau
pegang rotan macam dia. Tapi rotannya berbeza rupa : pembaris, penyapu,
kayu dan sebagainya. Semuanya kerana kau mahu anak muridmu juga jadi
pandai macam engkau. Macam dia.
Kau
masuk lambat ke kelas macam dia. Serupa macam dia kerana kau juga ada
alasan seperti dia. Tidur lewat untuk menyiapkan formula keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran untuk pelajaran esoknya. Juga lambat kerana
kesesakan jalanraya yang sama dilalui oleh dia suatu zaman dahulu.
Tetapi mungkin berbeza kenyataannya.
Baru kini kau tahu kenapa dia
begitu. Itupun setelah kau melalui jalan perjuangan yang sama dengannya.
Jika tidak, kau tidak akan tahu sampai bila-bilapun dan selalu
menyalahinya. Yang membezakan kau dengan dia hanyalah zaman. Zaman
engkau sangat berubah dan ditenggelami oleh teknologi globalisasi. Lebih
mencabar dari zaman dia. Penuh dengan krisis akhlak yang memeningkan
kepala.
Peraturan berbagai rupa tapi disiplin dipandang dengan sebelah mata oleh
kebanyakan pelajar yang sudah hilang hormat pada gurunya. Hilang deria
kecintaan pada gurunya. Benci pada sekolah. Benci pada pelajaran. Benci
pada segala yang menempatkan kebijakan masa depannya. Apakah kerana kau
menjadi salah satu dari penyebabnya. Mudahan tidak. Kerana engkau adalah
guru yang dedikasi dan berhemah tinggi.
Kebalikan
dari zaman dia, ramai anak muridnya kini jadi MANUSIA YANG BENAR-BENAR
BERJASA termasuk engkau, walau tidak semuanya berjaya dalam kerjaya.
Pendidikan dia meresap ke jiwa raga. tegas dan garangnya menjadi jalan
menuju bahagia.
WAHAI PELAJAR YANG DIKASIHI, CINTAILAH GURUMU YANG TELAH BERJASA. SIAPALAH KAMU HARI INI ?
Sekian, salam hormat penuh takzim.
SITI FATIMAH AHMAD. Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang. Bintangor, Sarawak
Post a Comment